Langkah Pertama

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, entri pertama di halaman yang baharu, penulis masih sama namun tempatnya sahaja yang berbeza. InshaAllah, blog ini akan diberi wajah yang lebih segar. Semoga semua pembaca sihat walafiat, inshaAllah.

Entri pertama ini berkisarkan kisah kejayaan 110 orang pelajar USM-KLE. Setelah hampir 5 tahun berhempas-pulas di USM-KLE, akhirnya tibalah jua detik yang paling digeruni ramai, iaitu Peperiksaan Ikhtisas III / Professional-III Examination atau lebih mesra dikenali sebagai PRO III.

Peperiksaan ini mengambil masa hampir dua minggu. Bermula pada 7 Jun 2016 hingga 16 Jun 2016. PRO III ini merupakan sebuah “exit exam”, maka penilaiannya merangkumi segala aspek yang perlu dimahiri oleh bakal graduan, tak kira dari segi teori mahupun praktikal. Bukan untuk menyeksa para pelajar, tapi untuk memastikan graduan yang dilahirkan nanti adalah graduan yang kompeten.

Bermula dengan peperiksaan Long Case yang telah saya tempuhi pada hari pertama peperiksaan, merangkap hari pertama umat Islam di Belgaum berpuasa Ramadhan (di sana puasa bermula lewat sehari). Saya diberi masa selama sejam untuk mengambil sejarah pesakit dan juga membuat pemeriksaan yang patut. Saya mendapat pesakit daripada cabang Perubatan (Medical). Pesakit itu menghidap satu penyakit jantung yang dipanggil “Rheumatic Heart Disease with Mitral Stenosis”. Tak faham? Sila google.

Panel pemeriksa yang perlu saya hadapi bukan calang-calang! Professor Kamaruddin Ja’alam, Timbalan Dekan USM-KLE yang telah saya anggap seperti ayah saya sendiri, dan Dr. Zaharuddin, dari Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM Kampus Kesihatan. Saya teruskan pembentangan seperti biasa. 30 minit yang mendebarkan, terasa sekejap. Alhamdulillah, mereka memuji prestasi saya pada tengah hari itu. Malahan, salah seorang pemeriksa mencatit “Very confident” di kertas pemarkahan saya. Balik hostel, terus sujud syukur. 🙂

Untuk peperiksaan Short Case pula, saya mendapat tiga kes daripada cabang Pembedahan (Surgical). Stesen pertama merupakan kehamilan normal dari bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Stesen kedua merupakan kes hernia dari bahagian Pembedahan Am, stesen ketiga merupakan kes patah kaki yang tidak bercantum dengan baik (mal-union). Pada pendapat saya, prestasi saya untuk Short Case ini biasa-biasa sahaja. Hadapi sahaja dengan senyuman.

Peperiksaan OSCE I dan II pula, seperti biasa. Ada yang bagus, ada yang biasa, mungkin ada juga yang teruk. Entahlah, wallahualam, saya dah cuba yang terbaik.

Peperiksaan bertulis iaitu MEQ I dan II serta MCQ I dan II amatlah memenatkan. Bayangkan, saya perlu meneliti 1000 pilihan jawapan untuk MCQ! Namun, bila dah habis, terasa lega seperti suatu bebanan yang digalas selama 5 tahun, hilang begitu sahaja.

Debaran tak berhenti di situ. Pihak fakulti mengumumkan bahawa ada dua calon yang termasuk di dalam senarai Viva Borderline, yang bermaksud, mereka belum tentu lulus dan belum tentu gagal. Jika mereka ingin meluluskan diri, mereka perlu menghadiri satu sesi viva/temu duga.

Ada juga beberapa orang pelajar yang terpilih untuk ke Viva Distnction. Kes mereka berbeza kerana mereka sudah tentu lulus dan sekiranya mereka berjaya, mereka akan meraih pangkat Distinction / Kepujian tersebut.

Maka, pada 21 Jun 2016, tibalah detik yang dinantikan oleh semua. Pengumuman keputusan PRO III yang dilakukan oleh Prof KJ sendiri tanpa kehadiran Pengerusi Fasa III, Dr. Ashok Pangi yang ketika itu terlantar di hospital kerana serangan jantung.

dsc_0585
Nampak tak muka berdebar-debar tu?

Seperti pengumuman yang lepas, nama pelajar yang lulus disebut satu demi satu. Alhamdulillah, nama saya tersenarai sebagai salah seorang pelajar yang lulus PRO III. Sebuah momen yang sukar untuk dilupakan. Tanpa berlengah, saya terus mesej group WhatsApp keluarga untuk mengkhabarkan berita gembira tersebut.

Semua calon lulus kecuali dua orang yang namanya tidak disebutkan kerana masalah teknikal.

Dua hari kemudian, tibalah hari untuk meraikan kejayaan kami. White Coat Ceremony merupakan satu acara yang meraikan graduan lepasan USM-KLE dan juga untuk mengenang jasa para pensyarah serta staf USM-KLE yang telah bertungkus-lumus untuk melakukan yang terbaik untuk semua. Pelbagai anugerah kepada pelajar, pensyarah dan staf yang telah diberikan. Tidak dilupakan, upacara mengangkat sumpah atau Hippocratic Oath yang telah disesuaikan dengan keadaan, juga dilakukan dalam majlis tersebut. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran ibu bapa dan kaum keluarga pelajar yang datang dari Malaysia serta kehadiran mahasiswa-mahasiswi USM-KLE yang bakal mengikuti jejak langkah kami beberapa tahun lagi.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana saya telah berjaya mengharung 5 tahun yang mencabar ini. Ada waktu suka dan duka, pahit manis, penat jerihnya yang tersendiri.

dsc_0686
Alhamdulillah, I did it!

Syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Perjalanan sebagai seorang pelajar perubatan sepanjang 5 tahun ini bukan mudah, ada naik turunnya, ada suka dan dukanya.

Sukar untuk percaya bahawa saya berjaya untuk lulus setelah semua yang berlaku selama ini. Walaupun ada kalanya saya bergelut dengan diri sendiri dan juga pembelajaran, namun akhirnya Allah terangkan serta bukakan jalan untuk saya ketika saya meniti hari demi hari sebagai pelajar perubatan.

Kejayaan ini tentunya tidak akan berada dalam genggaman jika tiada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa dan keluarga. 5 tahun yang lepas, Mak dan ahli-ahli keluarga yang lain sangat bangga apabila mendapat saya dapat tempat ke USM-KLE. Begitu juga arwah Abah, arwah Wo (nenek), arwah Mok Jah (ibu saudara). Namun Allah lebih menyayangi mereka. Mereka bertigalah penyokong utama saya dalam keputusan melanjutkan pelajaran dalam kursus perubatan.

Pernah ditimpa kemalangan ketika tamat Tahun 1, patah kaki hingga terlepas kelas selama 10 minggu. Namun saya tetap tidak patah semangat.

Saya diuji berkali-kali dengan kehilangan insan-insan penting dalam hidup. Secara jujurnya, pemergian arwah Wo pada Mac 2014, arwah Mok Jah pada Jun 2014 dan arwah Abah pada Mac 2015 menggugah keteguhan semangat saya. Namun saya perlu terus melangkah ke arah kejayaan, dan saya amat bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang baik daripada keluarga, rakan seperjuangan dan kawan-kawan.

Kejayaan ini didedikasikan kepada mak saya yang tersayang, Puan Rakiah Ismail. Tidak lupa insan-insan yang telah tiada iaitu arwah Abah (Roslan bin Abdul Rahim), Wo (Eshah binti Ali) dan Mok Jah (Hazizah binti Ismail).

Tidak lupa juga kepada semua pensyarah yang mengajar saya selama ini, kepada adik-beradik, kepada seluruh ahli keluarga tak kira di mana mereka berada, kepada rakan seperjuangan di USM-KLE terutamanya kepada saudara Dr. Muhammad Fareed Nor Azlan yang selalu teman ke hospital dan buat personal coaching, ahli ‘study group’, guru-guru, sahabat handai, kawan-kawan dan senior saya dari batch The Pioneers yang banyak memberi tunjuk ajar selama 4 tahun bersama mereka, serta semua warga USM-KLE. Tidak lupa juga kepada semua rakan seusrah, anak-anak usrah saya dan juga semua ikhwah ISMA India serta mas’ul dan mas’ulah yang saya kasihi, dan semua warga I-Medik India.

Kepada rakan-rakan seperjuangan, tahniah dan terima kasih kerana telah banyak membantu dalam matlamat yang sama untuk 5 tahun ini (3 tahun untuk bekas pelajar dari Mesir), terutamanya kepada kawan-kawan study group.

dsc_0617

Kepada juniors yang masih di USM-KLE, teruskan perjuangan. Ambillah pedoman dan inspirasi daripada kejayaan kami. Ambil yang baik-baik sahaja, yang buruk sekiranya ada, buang jauh-jauh. InshaAllah, satu hari nanti, hari anda akan tiba. Sekiranya ada masalah, kami sedia membantu. Mohon doakan kami semua agar terus berjaya dunia dan akhirat.
Dengan lulusnya kami dari USM-KLE ini, maka bermulalah langkah pertama ke arah langkah-langkah berikutnya untuk menjadi doktor yang cemerlang. Untuk diri saya sendiri, perjuangan ini takkan berhenti di sini, malahan saya akan terus berazam untuk mencapai cita-cita yang lebih tinggi.

dsc_0663
All the best adik-adikku!
dsc_0667
All the best jugak Aboh! 🙂

Semoga maju jaya wahai diri sendiri dan rakan-rakan! Jangan mengalah, kuatkan semangat kerana cabaran sebenar baru bermula. Ingat kata-kata Prof KJ: “It is not the mountain that kill you, it is the small pebbles in your shoes.”

 

DRR

Leave a comment