Temu Duga Pegawai Perubatan UD41

22 Februari 2017, saya telah dipanggil untuk sesi temu duga Pegawai Perubatan gred UD41. 

Tempat temu duga memang bebas untuk dipilih, maka saya masa awal-awal lagi ketika isi borang, telah memilih Pusat Temu Duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kota Bharu, Kelantan.

Kebiasaannya, temu duga Pegawai Perubatan UD41 ini akan dikendalikan oleh dua orang panel, seorang dari SPA, seorang dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Untuk makluman, panel juga akan berbeza mengikut Lembaga Temu Duga. Saya mendapat LTD 06, iaitu YBhg. Dato’ Norzam bin Mohd Nor dari SPA dan Dr. Saiful dari KKM.

Seperti biasa, untuk mukadimahnya, para panel minta saya untuk memperkenalkan diri. Mereka akan beritahu butiran yang mereka perlukan. Kalau panel tanya dalam bahasa Melayu, jawab dalam bahasa Melayu. Kalau dalam bahasa Inggeris, jawablah dalam bahasa Inggeris. Kalau tak yakin, mintalah izin untuk cakap dalam bahasa lain.

Tentang soalan-soalan pula, Dato’ Norzam mengajukan soalan mengenai kelemahan diri. Tips di sini: jangan sebutkan kelemahan diri yang berkait rapat dengan pekerjaan yang dipohon. Contohnya kalau nak jadi doktor, janganlah sebut takut darah, tak suka kanak-kanak, tak tahan dimarahi doktor yang lebih berpengalaman. Macam saya, saya sebut yang saya gayat, tapi memang saya tak tak takut darah, suka kanak-kanak dan inshaAllah kalis marah.

Beliau juga pandai meneka personaliti saya yang katanya suka bercuti. Beliau meneka lagi, saya seorang yang boleh berdikari sendiri, tiada masalah jika mengembara sendirian. Ya betul, saya boleh jadi lone ranger, sekiranya saya dah biasa dengan tempat berkenaan. Kalau belum biasa dan saya terpaksa berseorangan, saya akan buat kajian terlebih dahulu mengenai tempat berkenaan. Seram juga sebab beliau dapat teka personalitiku. Mungkin sebab dalam resume, saya sebut mengenai kepemimpinan. Dalam hati “Eh Dato’ ni stalk aku ke?”

Dr. Saiful pula merupakan lulusan Jawaharlal Nehru Medical College (JNMC) yang merupakan “Adik-beradik” USM-KLE di Belgaum sana. Kampus kami berada dalam satu halaman yang sama, dan banyak kemudahan yang kami kongsikan. Pihak JPA masih menaja pelajar Malaysia ke JNMC sehingga kini walaupun khabarnya ada sedikit permasalahan yang timbul daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi India.

Dr. Saiful bertanya mengenai pengurusan stres sebagai seorang House Officer (HO). Saya jawab dengan seadanya mengikut pengurusan saya selama ini. Yang mengejutkan, beliau bertanya mengenai Jawaharlal Nehru! Syukurlah saya dapat menjawab soalan berkenaan. Jawaharlal Nehru merupakan Perdana Menteri India yang pertama. Beliau hairan dengan beberapa orang rakan yang juga ditemu duga oleh beliau kerana tidak dapat menjawab soalan yang sama sedangkan sebagai seorang mahasiswa / mahasiswi yang 5 tahun berada di sana, mahasiswa / mahasiswi perlu peka dan tambah banyak pengetahuan am mengenai India.



Di samping itu, sebelum mengakhiri sesi temu duga, Dr. Saiful berkata bahawa perjalanan hidup beliau lebih kurang dengan perjalanan hidup saya. Beliau juga pernah belajar di tapak SM Sains Alam Shah di Cheras (ketika itu, masih Sekolah Alam Shah) dan juga alumni Belgaum. Beliau berkata,


“Mungkin satu hari nanti, kamu pula yang bakal berada di kerusi ini, menemu duga calon-calon doktor muda yang baharu.”

Mungkin saya sudah terlalu lama menunggu giliran untuk penempatan sebagai HO, namun setelah mendengar kata-kata perangsang tersebut, semangat terus membara. Saya aminkan sahaja kata-kata tersebut.

Pengakhiran sesi berkenaan adalah ucapan “Selamat maju jaya”. Tak sampai 10 minit sesi temu duga berkenaan. Syukurlah segala urusan temu dugaku dipermudahkan. Tiada soalan-soalan yang sukar daripada panel penemu duga. Mungkin kerana saya merupakan calon yang terakhir ditemu duga pada hari tersebut.

Sebelum ini, saya sedikit cuak kerana runsing mendengarkan soalan-soalan yang diajukan ketika temu duga yang ala-ala peperiksaan viva sewaktu bergelar pelajar perubatan. 

Setelah lebih 7 bulan tamat pengajian, ternyata banyak benda yang ingat-ingat lupa. Jadi, sebelum ke temu duga nanti, pastikan anda telah baca benda-benda yang asas!
Biasanya kalau panel KKM, soalan-soalan berkaitan perubatan, contohnya:


“Pengalaman elektif di hospital”

“Nak jadi pakar dalam bidang apa”

“Dengue, signs and symptoms, warning signs, management, dengue shock syndrome, dengue haemorrhagic fever”

“Terangkan nosocomial infection, definition, type of organism, how to prevent”

“Explain about neonatal jaundice”

Kalau SPA pula, contoh soalan seperti ini:


“Kenapa memilih bidang perubatan”

“Sebutkan Rukun Negara”

“Budaya korporat KKM”

“Siapakah Menteri Kesihatan?”

“Apakah maksud integriti?”

“Kepentingan komunikasi”

“Dokumentasi dan kepentingannya”

Pendek kata, kita sendiri yang menghalakan sesi itu. Contohnya kalau kita sebut yang kita nak jadi pakar dalam bidang pediatrik, mestilah soalan-soalan mengenai pediatrik yang akan ditanya.Dalam bahasa mudahnya, jangan gali kubur sendiri! Sebenarnya banyak lagi jenis soalan yang ditanyakan dalam pelbagai bentuk, cumanya tak mampu nak tulis kesemuanya di sini.

Selesai temu duga. Alhamdulillah.

InshaAllah keputusan temu duga ini akan keluar dalam masa 2-3 minggu daripada tarikh entri ini ditulis. Katanya daripada 3,000 calon yang ditemu duga, hanya 1,000 yang bakal diserap masuk pada bulan April ini. Baki 2,000 calon lagi bakal diserap secara berperingkat pada bulan-bulan berikutnya. 

Kalau sudah tertulis rezeki kita, takkan lari ke mana. Kalau digenggam dengan erat sekalipun tapi bukan milik kita, pasti akan terlepas jua. Yang penting, kita kena yakin yang Allah sentiasa bersama dengan hambaNya yang sabar.

DRR