Tips Tahun Klinikal

Tahun klinikal  / clinical years.. Mungkin bila dengar perkataan tersebut, ramai pelajar perubatan yang akan meremang bulu roma. Mungkin ada yang berlagak tenang tapi di hati bergoncang. Mungkin juga ramai yang melangkah ke tahun klinikal dengan bergaya. Macam-macam jenis pelajar perubatan.

Sebagai seorang bekas pelajar perubatan, saya terpanggil untuk memberi sedikit tips kepada para pelajar perubatan khususnya yang masih berjuang dalam tahun-tahun klinikal. Ingat, saya bukanlah pelajar perubatan yang sempurna, tapi saya rasa berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan tips berguna buat anda semua.

Saya mulakan dengan etika kita sebagai pelajar perubatan.

Menjadi seorang pelajar perubatan adalah sebuah kelebihan yang bukan semua orang dapat, jadi, sebagai seorang pelajar perubatan, kita harus tahu cara untuk menghormati “watak” kita sendiri.

dsc_0244
Saya sebagai seorang pelajar perubatan

 

Seperti yang kita tahu, pesakit, seperti yang disebutkan, merupakan seorang yang mengalami kesakitan atau tidak berada pada tahap terbaik kesihatan mereka. Maka, kita perlu hati-hati apabila berhadapan dengan mereka. Cara kita bertutur, cara pembawaan diri kita, tatasusila kita, penampilan kita, semuanya penting. Untuk meraih kepercayaan pesakit, kita perlu jaga kesemuanya dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Jaga imej anda!

Pesakit juga perlu mendedahkan perkara yang perlu kita ketahui. Tak kira sama ada mereka mendedahkan maklumat peribadi sewaktu kita mengambil sejarah pesakit ataupun mendedahkan bahagian-bahagian tertentu pada badan mereka sewaktu pemeriksaan. Mungkin ada rahsia-rahsia tertentu yang pesakit dedahkan kepada kita. Maka, mungkin kita akan kenali pesakit tersebut lebih daripada sanak saudara mereka. Justeru, jagalah rahsia mereka, hormatilah hak pesakit berkenaan kerana mungkin mereka adalah seseorang di luar sana. Kalau rasa nak berkongsi pengalaman denagn orang ramai, minta izin daripada pesakit. Contohnya nak muat naik gambar kaki diabetik (diabetic foot) di Facebook, minta izin terlebih dulu. Letaklah diri kita pada kedudukan pesakit tersebut. Adakah kita gembira kalau ada orang dedahkan aib kita? Mestilah kita akan malu.

Hormatilah pesakit anda sekalipun mereka menolak untuk diperiksa oleh anda. Jangan berasa kecewa bila permintaan anda ditolak. Mungkin anda boleh berikan sedikit masa untuk mereka. Ingatlah kembali sebab mereka berada di hospital, untuk mereka kembali sihat. Mereka bukanlah seperti makanan di kafetaria, “terhidang” untuk “santapan” kita.

Tanam dalam fikiran masing-masing, pesakit di hadapan anda bukanlah sebuah proses patologikal. Mereka juga bukanlah “pesakit Osteomyelitis”, “pesakit Tetralogy of Fallot” atau “pesakit Bronchopneumonia” semata-mata. Mereka juga manusia. Maka, layanlah mereka dengan sebaik mungkin, dengan sifat kemanusiaan.

20130930_115535
Santunilah mereka dengan penuh kasih sayang

Sebagai pelajar perubatan tahun klinikal juga, anda juga perlu ingat bahawa tahun klinikal merupakan pintu gerbang untuk menjadi seorang doktor sebenar. Ingatlah bahawa badan pesakit adalah serapuh badan anda. Hormatilah mereka.

Jangan lupa untuk hormat orang di sekeliling anda. Hormat pensyarah, rakan sekumpulan, para pekerja, hatta mak cik sapu sampah sekali pun. Kita bakal bekerja dalam bidang profesional, maka jadilah seorang yang profesional. Pelan pelan kayuh, mula daripada zaman sebagai seorang pelajar ini.

Anda mesti dah bosan bila berulang kali saya menyebut perkataan “hormat” dalam artikel saya. Sengaja saya ulang dan ulang berkali-kali supaya perkataan tersebut lekat dalam fikiran anda.

Baiklah, kita masuk bahagian tips secara am untuk bertahan / survive dari satu posting ke posting yang lain hingga lulus PRO EXAM inshaAllah.

 

1) Pastikan ketepatan fakta anda

Untuk tahun klinikal ini, tak cukup kalau anda hanya pandai ambil sejarah (history taking) dan buat pemeriksaan semata-mata. Tak cukup!

Belajar balik perkara yang asas (basic). Kalau ada sesi tutorial, baca balik slide yang ada. Slide sahaja tak cukup! Kena baca buku rujukan juga. Jangan malu untuk baca balik buku subjek pra-klinikal. Tak dilupakan, nota-nota dan juga CPG (jika perlu).

Semak balik fakta anda, jangan sampai mencetuskan “ajaran sesat”, nanti sama ada kena gelak oleh kawan-kawan atau kena ceramah oleh pensyarah. Kan dah malu! Lebih malu kalau pesakit tersebut tersalah cara pengurusannya (management) hanya kerana kekurangan ilmu kita. Kalau tak pasti juga, tanya orang yang tahu. Jangan malu, rendahkan ego anda!

Secara peribadi, selain rujuk buku, cara saya pastikan fakta saya adalah dengan saling menyoal dengan rakan-rakan. Sambil berborak tu, selitlah sikit bab medik. Kalau sama-sama tak tahu, boleh tanya pensyarah, selesai masalah.

Kalau kita dah yakin dengan ilmu yang kita ada, ajar kepada orang lain. Tak rugi pun, malahan kita bertambah ingat dan ingat. Percayalah..

dsc_0012
Hebak-hebak belako groupmate kawe ni..

 

 

2. Baca, baca, baca!

Pada pendapat saya, untuk tahun klinikal ni, tak perlu baca pun buku tebal-tebal tu. Larat ke nak habiskan Harrison’s dua jilid yang dahsyat ketebalannya itu? Tak sanggup, dengan tulisan yang kecil lagi, berat dia astaghfirullahal azim. Boleh jadi pelajar perubatan sado kalau anda bawa ke hulu ke hilir.

Sebagai alternatif, anda boleh buat nota sendiri. Nota yang anda fahami. Walau secantik atau seburuk mana nota anda, biarlah orang nak mengata. Janji anda faham nota anda. Mereka mesti dah ada nota sendiri.

Selain itu, kalau anda minat juga nak baca buku, belilah pocket book yang boleh dibawa ke mana sahaja. Masih degil nak baca buku tebal? Teruskanlah, tapi saya sarankan anda baca bab-bab tertentu sahaja, bab yang penting, bab yang anda susah sangat faham.

 

3. Jika anda seorang penari zapin, menarilah ikut rentak zapin, bukan rentak hip hop

Ikut rentak sendiri. Jangan ikut rentak orang lain. Misalnya kalau orang lain boleh berjaga sampai pukul 2 pagi untuk ulang kaji, tapi kalau pukul 11 malam pun dah “berat mata memandang”, tidur! Jangan paksa diri. Timbalan dekan saya pernah pesan,

Jangan buang masa untuk stay up sampai lewat kalau tak mampu. Baik tidur daripada bazirkan diri menghadap buku sebab waktu tu segala yang kita baca takkan masuk lagi.

 

4. Berlatih!

Pepatah Inggeris ada menyebut, “Practice makes perfect.”

Rajinkanlah diri anda untuk ke hospital untuk berlatih clerking. Saya mengaku bahawa saya bukanlah seorang yang amat rajin ke hospital untuk clerk pesakit, tetapi saya amat mengagumi rakan-rakan yang begitu rajin ke hospital. Ternyata mereka lebih hebat berbanding saya yang tidak seberapa ini. Masa dekat peperiksaan barulah ada kesedaran untuk meringankan kaki ini ke hospital.

Jadilah lebih rajin sehingga clerking pesakit ini menjadi sebati (second nature) dengan diri anda. Tak rugi langsung. Cari rakan-rakan yang boleh bantu anda clerk pesakit dan jadi pengkritik anda sewaktu anda present kes tersebut! Sekali-sekala berlagak jadi pensyarah tak mengapa. Sekurang-kurangnya kita boleh baiki kesalahan antara satu sama lain, sama-sama dapat ilmu bermanfaat.

Tak kira kes itu mudah atau susah. Kalau senang, buatlah yang terbaik. Kalau susah, bertabahlah, cuba buat yang terbaik. Hidup ini penuh dengan warna-warninya. Tak kira susah atau senang, pengalaman yang ada itu akan jadi bekalan untuk anda ketika PRO EXAM dan bila dah jadi HO nanti.

Takut kena marah? Mana lagi seram, kena marah masa belajar atau masa exam? Sebenarnya sangat OK kalau kita buat kesalahan masa belajar. Jangan takut!!!

Untuk praktikal pula, saya banyak manfaatkan posting Family Medicine dan juga manfaatkan kewujudan Clinical Skill Lab.

Berlatihlah kerana anda masih bertatih.

dsc_1708
Don’t try this at home!

 

 

5. Kes yang biasa jadi susah, kes yang tak biasa jadi senang?

Betul, perkara ni berlaku kepada ramai orang.

Bukan main lagi hafal dictum untuk management penyakit yang susah-susah, sekali bila pensyarah tanya soalan kacang macam, “What are the differences between jugular vein and carotid artery pulsation?” pun tak boleh nak jawab, kan dah teruk pandangan pensyarah kepada kita. Pemeriksa harap kita tahu semua benda asas, jadi janganlah tertinggal benda yang sangat mudah. Kalau tak tahu julat  / range untuk BP dan pulse rate yang normal, jangan masuk PRO EXAM! Bikin malu saja..

Biasanya kes yang dikatakan mudah yang selalu “membunuh”. Contohnya, untuk paediatrik, bila kita dengar pasal kes cirit-birit / diarrhoea, bunyi macam kacang tapi sebenarnya susah juga. Bila ditanya pasal cara pengurusan / management, mulalah semua pandang ke langit, kira bintang. Nampak?

Bila dengar kes susah, jangan gabra. Buat yang terbaik. Tenang, jangan cuak. Kalau kita nampak cuak, lagilah pemeriksa seronok untuk serang kita.

Masih belum terlambat, kemah keming-kan management anda!

 

 

 

 

6. Jangan terlalu fikir tentang peperiksaan / exam

Sebenarnya, exam ni hanyalah nasib semata-mata. Rezeki masing-masing. Alhamdulillah kalau nasib menyebelahi kita.

Ada juga rakan-rakan yang diduga dengan kes yang jarang atau tak pernah jumpa, tiba-tiba muncul pada hari kejadian. Mana tak cuak! Lebih cuak jika pesakit tak faham bahasa yang kita cakap. Macam saya di India, kalau dapat pesakit yang boleh cakap bahasa Inggeris, rasa macam nak peluk, tapi kalau tak faham bahasa Inggeris, gunalah skill bahasa Hindi/Kannada yang saya ada. Kalau tak boleh jugak, guna khidmat penterjemah / translator. Biasanya jururawat.

 

 

InshaAllah dengan persiapan yang anda lakukan, dengan segala pengalaman, anda akan melangkah ke hari peperiksaan dengan bergaya, lulus dengan hebatnya!

mouse-pad-meme-like-a-boss.jpg

 

7. Teruskan kehidupan seperti manusia biasa

Jadi seorang pelajar perubatan, bukannya bereti anda perlu menjadi seorang robot, android atau burung hantu. Peruntukkan masa untuk bersosial dan untuk diri sendiri. Bahagikan masa dengan sebaiknya. Allah berikan 24 jam yang sama untuk semua orang. Sebenarnya pengurusan masa amat penting. Waktu lapang, buatlah aktiviti yang digemari, contohnya bersukan, tengok wayang, makan minum, baca Quran, usrah, jalan-jalan, kacau kawan, masak-masak dan pelbagai aktiviti berguna yang lain, dalam masa yang sama, jangan abaikan tanggungjawab anda. Nikmati kehidupan sebagai seorang pelajar.

Jangan lupa letakkan pergantungan kita kepada Allah S.W.T., doalah kepadaNya, dalam masa yang sama, kita berusaha dan ikhtiar!

dsc_1549
Bertenang hingga ke saat akhir
dsc_1912
Saya siap boleh buat bisnes jual nasi kerabu lagi!
dsc_0592
Rindu zaman belajar

 

InshaAllah, setakat ini sahajalah perkongsian yang mampu saya coretkan di sini. Saya bukanlah sempurna tapi saya tulis artikel ini dengan niat supaya ramai yang mendapat manfaat daripada nasihat yang saya berikan. Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah tinggalkan komen di bawah atau hubungi saya di platfom MedSos (media sosial) yang ada.

 

Akhir kata, ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk. Semoga semua sukses dalam bidang masing-masing!

 

 

Masih menanti dan terus menanti temu duga dan posting…

 

DRR

 

 

Advertisements